01 February, 2010

sahabatku...

YA Allah..
Rupanya hari ini, kami masih tidak menerima sahabat kami sepenuh hati
Walaupun kami sama-sama telah melafazkan janji setia
Untuk berjuang dalam satu barisan di medan dakwah
Kami masih membeza-bezakan kelebihan sahabat-sahabat kami
Walaupun telah Kau nyatakan tiada beza antara manusia, melainkan Iman dan Taqwa

YA Allah..
Hari ini, kami mengungkit keburukan sahabat kami
Kami tidak mampu menerima sahabat yang lemah
Kami melenting bila ditegur insan yang duduk bersama kami dalam satu perjuangan
Kami hanya mahukan yang terbaik sahaja dari sahabat kami
Tapi kami lupa ya Allah
Bahawa kami juga tidak sempurna
Hatta Nabi-Mu menerima hamba berkulit hitam sebagai sahabatnya
Layakkah kami menolak kehadiran sahabat yang punya cacat-cela?

YA Allah..
Jangan kau jadikan kami lupa terhadap asal-usul kami
Jangan kau biarkan kami membanding-bandingk an sahabat kami
Mereka punya kelebihan, mereka juga ada kekurangan
Begitu juga kami ya Allah
Bahkan mungkin kelemahan kami sebenarnya lebih besar berbanding mereka
Namun kami tidak tahu
Sedangkan seisi alam mengetahui keburukan itu

YA Allah..
Ampunilah kami ya Allah
Jangan kau biarkan musuh-musuh- Mu menghancurkan ikatan hati kami
Jangan kau biarkan kami tenggelam dalam keegoan diri kami
Jangan kau biarkan kami sesat tanpa kami sedar ya Allah
Kerana kami hamba-Mu yang lemah

Kami tidak tahu apa yang akan terjadi apa keesokan hari
Mungkin kami tidak lagi diberi peluang untuk bernafas
Mungkin telah tamat tempoh untuk kami beramal dan berukhwah
Mungkin esok masanya untuk kami ke kembali ke tempat asal..

Cuma kami bimbang ya Allah
Bimbang kami tidak punya kesempatan untuk memohon maaf
Dari insan-insan yang pernah kami lukai
Dari sahabat-sahabat yang terasa hati dengan kami

Kami juga bimbang ya Allah
Andai tiada lagi peluang untuk kami mengeratkan ukhwah di antara kami
Peluang untuk kami lebih kenal sahabat kami
Peluang untuk kami belajar menerima kelemahan sahabat sefikrah kami
Peluang untuk kami bersahabat seperti Nabi-Mu!

YA Allah,
Ada di antara kami yang bijak pandai, maka kau peliharalah mereka dari kesombongan diri
Ada di antara kami yang kurang cerdik, maka kau jauhkan mereka dari rasa rendah diri yang keterlaluan
Ada di antara kami yang pakar segala perkara, maka jangan kau tinggalkan mereka hanyut dengan kehebatan itu
Ada di antara kami yang tiada kemahiran, maka kau ilhamkanlah mereka dengan kemampuan yang mereka ada
Ada di antara kami yang baik akhlaqnya, tapi janganlah kau biarkan mereka rasa sudah cukup
Ada di antara kami yang belum sempurna akhlaqnya, kau bantulah mereka untuk membentuknya

YA Allah..
Kami ini hanyalah makhluq, sedang Kaulah Khaliqnya
Maka Kau mengetahui segala yang tersembunyi
Kau mengetahui hikmah di sebalik penciptaan manusia yang pelbagai
Mungkin pernah Kau sampaikan kepada kami
Namun kami hamba yang lemah, sentiasa leka
Kerana Dunia hina di depan mata,
Membuatkan kami terlupa Akhirat itu destinasi yang sebenarnya..

Jangan Kau biarkan perbezaan kami ini
Menjadi punca keretakan ukhwah sesama kami
Menjadi punca keruntuhan jemaah yang kami dokongi
Menjadi punca kejatuhan Agama-Mu ya Allah.
Ampunilah kami. Bantulah kami. Pimpinlah kami.

6 comments:

  1. terima kasih...puisi ini cukup memberi kaedah dalam berukhuwwah dan persahabatan...

    - wan yusrizal..

    ReplyDelete
  2. salam..
    puisi yg sgt menarik & membuat kita berfikir..
    teruskn menulis.
    -nurul ain, Just, irbid-

    ReplyDelete
  3. Ya Allah,golongkanlah kami dalam golongan hamba2MU yang berkasih sayang keranaMu dan selamatkanlah kami ketika hari tiada naungan melainkan naunganMU...

    ReplyDelete