25 December, 2009

KONSEP SYAHDATAIN DAN APLIKASINYA

a


KONSEP SYAHADATAIN DAN APLIKASINYA.

Oleh : Wan Yusrizal b. Wan Syafie.


Apabila ditanya kepada kita apakah kalimah syahadatain, semuanya akan memberi jawapan yang sama iaitu لا اله إلا الله محمد رسو ل الله.

Apabila ditanya apakah mula makna syahadatain ini, semuanya akan memberi jawapan yang sama iaitu Tiada Tuhan Yang Berhak DiSembah Melainkan Allah Swt, dan Muhammad Saw Itu Adalah Pesuruh Allah Swt.

Apabila ditanya pula apakah kepentingan syahadatain ini, kita akan menjawab bahawa syahadatain inilah yang membezakan seseorang itu dengan islam dan kufur, dengan kata lain seseorang yang mengucap syahadah ini, maka kita hukumnya secara zahir sebagai muslim.

Mungkin kita juga akan teringat hadith Nabi Sallahu A'laihi wa Sallam yang berbunyi :

عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ[1]

Berdasarkan ini semua, apabila seseorang membicarakan mengenai syahadatain, ianya akan melibatkan berbagai-bagai aspek, iaitu :

1. Makna syahadatain

2. Syarat sah apabila syahdatain diucapkan.

3. Perkara yang membatalkan syahadatain

4. Hukum seseorang yang mengucap syahdatain, muslim atau mukmin atau munafiqkah dia?

5. Tuntutan dan aplikasi syahadatain di dalam semua peringkat :

- Individu ( Diri)

- Masyarakat

- Negara

Kita berkeyakinan bahawa semua ini, mampu dihuraikan oleh semua dengan baik, sebab itu adalah silibus ketika kita belajar di universiti dan sekolah dahulu.

Di dalam penulisan ini, akan cuba dibincangkan perkara yang ke 5, iaitu tuntutan dan aplikasi syahadatain, tetapi lebih merujuk kepada individu.Iaitu, bagaimanakah pengakuan syahadatain itu, penghayatan dan pemahaman kita terhadapnya boleh memberi kesan kepada diri kita.

SYAHADAH DAN APLIKASINYA PADA DIRI.

Dengan kata yang lebih mudah, ucapan syahadatain ini merupakan satu baiah kita kepada Allah Swt yang memberi maksud kita tunduk, menyerah dan terikat dengan undang-undang Allah Swt.

Jadi kesimpulannya, dari syahadatain kita mengaku ketuanan Allah Swt (Rububiyyah), ketuhanan Allah Swt (Uluhiyyah) dan kesempurnaan Allah Swt (Asma wa Sifat) di mana ini semua diasaskan pada apa yang dibawa oleh Rasulullah Saw.

Kesimpulannya yang seterusnya, apa yang kita sebutkan tadi, sewajarnya membawa siapa yang mengucap syahdatain kepada konsep ubudiyyah.

Dan inilah sebenarnya tujuan kita diciptakan :

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُون[2]ِ

Di mana ubudiyyah ini, perlu dilaksanakan. sebagaimana Rasulullah Saw memberi wasiat kepada kita

عَنْ سُفْيَانَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الثَّقَفِيِّ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قُلْ لِي فِي الْإِسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا بَعْدَكَ وَفِي حَدِيثِ أَبِي أُسَامَةَ غَيْرَكَ قَالَ قُلْ آمَنْتُ بِاللَّهِ فَاسْتَقِم[3]ْ.

Makna hadith ini kepada kita umpama Rasulullah Saw berpesan bahawa : Mengakulah Allah sebagai Tuhan, berubudiyyahlah kepadanya kemudian istiqomalah kamu menjadi hambaNya.Iaitu bukan sekejap ubudiyyah, sekejap tidak.Dalam sesetengah perkara kita ubudiyyah, setengah yang lain tidak pulak.

Sebab itu, kalau kita melihat rutin hidup seorang muslim dari aspek ibadah dan tanggungjawabnya, memberikan konsep Ubudiyyah.Ini dapat dilihat pada ibadah seperti zikir, bacaan Al-Quran, solat, azan dll.Atau dari sudut tanggungjawab seperti amar ma'ruf nahi mungkar dll.

Pengaplikasian Pada Diri.

Apabila kita memandangkan diri, kita dapat lihat pada diri kita ada dua unsur.Dan ini adalah merupakan pendapat saya sahaja, iaitu :

  1. Unsur Yang Nampak : Akhlak, penampilan, cara bertindak, komunikasi dll
  2. Unsur Yang Tidak Nampak : Pemikiran, sensitiviti, emosi dll

Dari sudut yang nampak, bagaimana kita ingin aplikasikan ubudiyyah kita?

  1. Cara berakhlak, adakah akhlak kita menunjukkan kita seorang hamba?
  2. Penampilan dan cara bertindak kita, adakah menunjukkan kita seorang hamba?Adakah penampilan kita mengikut kehendak kita sehingga kita sendiri meletakkan yang mana aurat dan yang mana bukan aurat sebagai contoh.Dan adakah tindakan yang kita buat dalam kehidupan selaras dengan kehendak Allah Swt?
  3. Komunikasi, adakah cara kita berhubung dengan cara yang ditetapkan oleh Allah Swt?Atau dengan cara sendiri, dengan meletakkan batas-batasnya?
  4. Dengan kata lain, dari sudut cara hidup, kita ini dilihat sebagai hamba Allah Swt dari segala aspek, bukan hanya tertumpu pada ibadat-ibadat tertentu sahaja.

Dari sudut yang tidak nampak pula, bagaimana ubudiyyah kita?

  1. Cara berfikir kita bagaimana?Sesuai dengan konsep kita sebagai hamba?Apabila melihat suasana yang tidak islamik.Apakah yang kita fikir?Kita sebagai hambaNya, apakah yang dituntut apabila melihat kemungkaran yang berlaku?
  2. Sensitiviti atau emosi kita bagaimana?Apabila melihat islam dihina, hukum-hukumnya ditinggalkan malah diejek, bagaimana sensitiviti kita?
  3. Selain itu, apabila pemikiran itu diasaskan kepada ubudiyyah, seseorang itu akan menyedari tanggungjawabnya dan tindakannya sebagai seorang hamba.Tidak kira siapakah dia, apakah pangkatnya atau pun tidak berpangkat.

KESIMPULANNYA : Setiap apa tindakan kita, mestilah selaras dengan konsep syahadatain yang membawa kita perasaan ubudiyyah. Di mana ubudiyyah ini melibatkan segala unsur kehidupan seseorang.Jika semua unsur kehidupan ini, dteraskan di atas dasar Ubudiyyah, maka akan lahirlah seoarang mukmin sejati dan terpuji sebagaimana dikehendaki oleh Allah Swt.

التَّائِبُونَ الْعَابِدُونَ الْحَامِدُونَ السَّائِحُونَ الرَّاكِعُونَ السَّاجِدُونَ الْآَمِرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّاهُونَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَالْحَافِظُونَ لِحُدُودِ اللَّهِ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ [4]

BAHAYA SERANGAN PEMIKIRAN DI DALAM KEHIDUPAN

Kita telah memahami bahawa, syahadatain membawa konsepa ubuddiyyah di dalam semua unsur diri kita. Iaitu kebebasan diri yang dianugerahkan akal yang terbatas ini, dijagai oleh perintah dan larangan Allah Swt.

Maka, mereka yang ingin mencapai ubuddiyyah yang hakiki kepada Allah Swt, mestilah membebaskan dirinya dari segala idealisme-idealisme dan gaya pemikiran yang jelas bercanggah dengan Islam.

Di antara idealisme yang begitu menular di dalam pemikiran umat islam pada hari ini, sedar atau tidak sedar ialah Liberalisme.

LIBERALISME

Sejarah Kemunculan Fahaman Liberalisme

Pada asalnya, fahaman liberalisme ini berlaku di dalam agama kristian pada kurun ke 14 yang dipelopori oleh Martin Luther disebabkan oleh penindasan golongan gereja terhadap individu-individu kristian.

Akibat fahaman ini, maka muncullah fahaman Protestan di dalam agama kristian yang membawa prinsip : Menjadi hak indivdiu kristian untuk membaca kitab suci dan mentafsirnya sendiri tanpa terikat dengan tafsiran paderi-paderi.

Hinggalah kurun ke 18, aliran ini terus berkembang dan mengalami pembaharuan dengan menimbulkan keraguan di dalam ajaran-ajaran agama.Seterusnya aliran ini menolak agama secara total dan terus mengembangkan pemikirannya di Jerman khususnya pada kurun ke 19 melalui tulisan-tulisan Feuerbach, Marx dan Nietzshe.[5]

Maka secara kesimpulannya :Fahaman ini menekankan aspek persamaan taraf dan kebebasan dan ia memusuhi agama yang dianggap menyekat kebebasan manusia.[6]

Dan fahaman ini disokong oleh fahaman-fahaman lain yang menyokong di antara satu sama lain.Antara fahaman tersebut :

    1. Rasionalisme – Aliran yang menjadikan akal manusia sebagai asas dan tunggak yang menentukan hak atau batil, dengan mengenepikan agama sebagai sumber utama dalam menentukan hukum[7]

    1. Sekularisme- Aliran yang memisahkan agama dari kehidupan.Golongan ini tidak menafikan agama dan ketuhanan, tetapi mengenepikan agama di dalam urusan kenegaraan, kemasyarakatan dan ekonomi dan mengutamakan pemikiaran manusia dan percubaan material.[8]

    1. Individualisme – Falsafah politik dan sosial yang memberikan hak kebebasan sepenuhnya kepada setiap individu dalam sebuah masyarakat.Fahaman ini menyatakan kepentingan individu tidak boleh diletakkan di bawah kuasa pemerintah atau masyarakat kerana ia menafikan hak-hak individu di suatu masa kelak[9]

Maka, dari fahaman-fahaman inilah lahirlah beberapa idealisme-idealisme yang lain seperti[10] :

1. Kapitaslime

2. Sosialisme dan Komunisme.

KESAN FAHAMAN LIBERALISME DI DALAM KEHIDUPAN UMAT ISLAM

Fahaman ini di bawa masuk ke dalam masyarakat islam melalui gerakan Misionari Kristian dan Orientalis melalui dua cara[11] :

1. Penjajahan

2. Pendidikan terhadap penganut-penganut islam yang belajar di Barat.

v Dan salah satu lagi cara yang dapat dilihat adalah melalui serangan pemikiran.

Kesimpulannya, fahaman ini dibawa masuk ke dalam masyarakat islam adalah bertujuan untuk menimbulkan keraguan terhadap Nabi Muhammad Saw seterusnya menolak ajaran Islam itu sendiri.

Dan apa yang ingin dilakukan ini adalah sama seperti apa yang dilakukan terhadap agama kristian.Dibuat pembaharuan dalam kristian, maka fahaman ini juga ingin membuat pembaharuan dalam Islam.

Pembaharuan ini bercanggah dengan firman Allah Swt yang menyatakan bahawa Islam ini telah sempurna yang tidak memerlukan pembaharuan :

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا[12]

Rentetan dari matlamat tersebut, para pendokong fahaman ini begitu berusaha untuk mereliasasikan matlamat mereka, sehingga akhirnya ajaran islam dianggap tidak lagi relevan dan tidak sesuai lagi di zaman moden ini.

Dalam perkara ini, Syeikh Abdullah Khatib menyatakan agenda-agenda tersembunyi golongan ini adalah[13] :

1. Untuk menggugurkan agama secara sepenuhnya dari masyarakat iaitu memisahkan agama dari pendidikan, menjauhkan syariat Islam dari kedudukannya sebagai sumber perundangan dan mengasaskan ekonomi di atas dasar riba.

2. Untuk menjauhkan fikrah atau pemikiran manusia dari setiap yang mempunyai kaitan dengan ruh, wahyu dan alam ghaib dari segala ikatan akhlak, aqidah dan keimanan kepada Allah.

3. Untuk memertabatkan ketuanan akal, kebendaan ( meterialis ) dan ilhad ( ketidakpercayaan pada agama dan wahyu ) dalam setiap urusan kehidupan dan menjadikan islam hanya sebagai agama rohani semata-mata dan menolak agama sebagai penentu dan pencorak kehidupan.

Kenapa mereka cuba untuk menimbulkan keraguan pada islam?Ini kerana seperti yang dijelaskan di atas tadi, mereka menganggap agama menyekat kebebasan manusia.

Dan bagi mereka, Islam sudah tentu musuh utama yang menyekat kerana Islam ajarannya dan pegangannya meliputi semua aspek kehidupan.

Natijah dari usaha mereka, dapat kita lihat sebahagian umat islam telah bersifat anti islam, tidak menerima hukum islam seterusnya memusuhi islam itu sendiri.

Oleh kerana fahaman liberalisme ini mendapat tentangan daripada ulamak-ulamak islam, maka di war-warkan satu fahaman yang bertopengkan islam yang dinamakan Islam Liberal.

Fahaman Islam Liberal ini mempunyai asas dan rukunya yang lima iaitu[14] :

1. SEKULARISME

Pemikiran Islam Liberal mengatakan sekularisme tidak bercanggah malah sebahagian dari Islam.

2. PLURALISME AGAMA

Semua agama adalah sama di mana semuanya menuju kepada tuhan yang satu. Perbezaan hanya pada cara sampai kepada tuhan tersebut. Agama Islam dan bukan Islam adalah setanding dan sama-sama benar..

3. AL-QURAN BARU EDISI KRITIS

Al-Quran yang ada perlu diedit kerana dikatakan mempunyai kesalahan dan perlu dinilai secara kritis.

4. HERMENEUTIKA

Pen’tafsiran’ semula al-Quran menggunakan kaedah ‘hermeneutika’ yang dicelup dari kaedah pentafsiran Bible. Sebagaimana bible dikaji, di mana ayat-ayat yang benar cuba diasingkan dari yang salah , teks al-Quran dikaji dan diubah mengikut selera pentafsir. Menurut kaedah ‘pentafsiran’ ini teks al-Quran tiada bezanya dengan tulisan-tulisan lain dan tidak harus dimuliakan kerana ianya mungkin mengandungi kesilapan.

5. FEMINISME

Perjuangan untuk menyamakan lelaki dan wanita di segala segi. Di antara tuntutannya : a) Lelaki perlu beriddah selama 130 hari sebagaimana wanita beriddah. b) Wanita diberi kuasa menjatuhkan talak c) Pembahagian pusaka sama di antara anak lelaki dan wanita d) Poligami adalah tidak sah.

TEMPIAS PEMIKIRAN LIBERAL YANG MENGHINGAPI PEMIKIRAN KITA.

Dapat kita lihat, bahawa fahaman liberalisme serta konco-konconya adalah inginkan kebebasan yang meninggalkan hukum agama sama ada di dalam semua urusan kehidupan atau sebahagian urusan kehidupan.

Namun, apabila kita renungi kehidupan kita, secara sedar tidak sedar kita terkena tempias pemikiran ini.

Apa yang dimaksudkan di sini ialah apabila islam meletakkan suatu hukum atau garis panduan di dalam sesuatu perkara, kita seakaan tidak mahu ikut. Yang lebih parah lagi, kadang kala kita memberi hukum sendiri.Antara isu-isu yang berkaitan dengan perkara ini adalah :

1. Ikhtilat ( Pergaulan Bebas )

2. Cara Pemakaian ( Aurat )

3. Hiburan

4. Menyerupai Kaum Yang Berlainan Dengannya

Isu-isu seperti di atas atau mungkin di sana ada lagi yang tidak disebut, menjadi masalah kepada kita. Berbagai-bagai penerangan atau pun program yang telah dibuat, namun masih ada lagi dikalangan kita yang mahu menjahilkan diri sendiri, dan tidak mahu mengikut yang sebenarnya.

KESIMPULAN

1. Jelas bahawa konsep syahadatain ini mestilah dihayati dengan penuh khusyuk agar ianya bukan sekadar gerakan bibir, tetapi menghasilkan perasaan ubudiyyah di dalam individu seorang muslim.

2. Setiap individu muslim haruslah memahami bahawa ubudiyyah yang terhasil dari pengakuan syahadatain itu, adalah merangkumi semua aspek dirinya, sama ada aspek itu mampu dilihat atau tidak mampu dilihat.

3. Individu muslim yang meyakini bahawa ubudiyyah itu meliputi semua aspek dan ianya mesti wujud setiap masa, harus menolak semua idealisme-ideaslisme dan gaya pemikiran yang bercanggah dengan islam.

4. Setiap daripada kita, harus menuntut, menggali dan memahami dakyah-dakyah musuh islam yang berselindung di sebalik fahaman yang bertopengkan islam.Pengetahuan ini penting, untuk difahami agar kita tidak terjebak ke dalam perangkap yang dibuat.

5. Setiap ilmuwan mahupun badan-badan tertentu di semua peringkat samaada pelajar atau sebaliknya, mestilah menganjurkan program-program penerangan berkaitan dengan perkara-perkara dan idealisme – idealisme yang bercanggah dengan islam.

v Akhirnya ingatlah firman Allah Swt :

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ[15]

v Dan juga wasiat Nabi Muhammad Saw :

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ[16]



[1] Riwayat Abu Daud dan dinilai sahih oleh Al-Albani

[2] Ayat 56 Surah Az-Zariyat

[3] Riwayat Muslim.

[4] Ayat 112 Surah Taubah

[5] Rujuk kitab Siri Serangan Pemikiran Islam Liberal dan Pluralisme Agama oleh Ustaz Ridhuan Mat Nor dan Ustaz Ahmad Adnan Fadhil m/s 18-19.

[6] Rujuk Monografi Ilmi 3, Kertas Kerja 7 yang bertajuk Ideologi Moden dan Kesannya Terhadap Islam m/s 11.

[7] Rujuk kitab كواشف زيوف oleh Abdul Rahman Habannakah cetakan Darul Qalam m/s 159

[8] Untuk lebih lanjut sila rujuk kitab العامانية وجها لوجه oleh Al-Qardhawi cetakan Muassasah Risalah m/s 48.

[9] Rujuk Monografi Ilmi 3, Kertas Kerja 7 yang bertajuk Ideologi Moden dan Kesannya Terhadap Islam m/s 4.

[10] Untuk lebih lanjut mengenai kedua-dua idealisme ini, rujuk kitab الإتجهات الفكرية المعاصرة oleh Doktor Ali Juraishah.

[11] Rujuk kitab Siri Serangan Pemikiran Islam Liberal dan Pluralisme Agama oleh Ustaz Ridhuan Mat Nor dan Ustaz Ahmad Adnan Fadhil m/s 15-16.

[12] Sebahagian dari ayat ke 3 Surah Al-Maidah

[13] [13] Rujuk kitab Siri Serangan Pemikiran Islam Liberal dan Pluralisme Agama oleh Ustaz Ridhuan Mat Nor dan Ustaz Ahmad Adnan Fadhil m/s 22

[14] Boleh rujuk Website Ustaz Asri Yusof http://www.darulkautsar.net, di menu pilihan Pemurnian Aqidah.

v Juga boleh rujuk Kitab Siri Serangan Pemikiran Islam Liberal dan Pluralisme Agama oleh Ustaz Ridhuan Mat Nor dan Ustaz Ahmad Adnan Fadhil.Terutama m/s 36-57 yang membincang secara panjang lebar mengenai fikrah Islam Liberal.

[15] Ayat 120 Surah Al-Baqarah

[16] Riwayat Bukhori dan Muslim

1 comment: