22 November, 2009

DIALEK ATAU LAHJAT

DIALEK

Dialek merupakan variasi bahasa apabila variasi bahasa itu difahami oleh pengguna dalam sesebuah masyarakat. Variasi bahasa lazimnya dirujuk sebagai dialek atau kelainan bahasa. Dari sudut yang sama, pewujudan bahasa boleh disejajarkan dengan sebuah sistem. Menurut Noriah ( 2003 ), dalam hal ini, bahasa boleh dianggap sebagai sebuah sistem terbuka yang dalamnya terkandung beberapa bahagian dan bahagian-bahagian dalam sistem bahasa inilah yang dikatakan dialek atau variasi bahasa.

1 Dialek Geografi.

Menurut Wafi (1945) sesungguhnya keadaan geografi sesuatu tempat menjadikan setiap keadaan geografi menjadi salah satu faktor perbezaan dialek sesuatu kaum. Ini berikutan perbezaan dari segi udara,keadaan negara,suasana,bukit bukau,sungai-sungai dan laut. Iklim juga turut memberi kesan terhadap bahasa. Contohnya penduduk Iraq berpegang kepada bahasa Parsi, bahasa Kurdiah dan bahasa Turki.Tetapi bagi penduduk Maghrib, mereka tidak berpegang kepada bahasa Farsi, Kurdiah dan Turkiah tetapi berpegang kepada bahasa Isbania dan Parsi.Kesemua ciri-ciri iklim semulajadi ini memberi kesan kepada bahasa masyarakat,sama ada iklim panas, sederhana dan sejuk.Oleh kerana bahasa ini membuatkan uslub setiap bahasa berbeza mengikut suasana.

2 Dialek Pasar(Ammi)

Dialek ini digunakan dalam kehidupan seharian atau sebagai bahasa seharian yang digunakan di rumah, di pasar dan di tempat-tempat awam. Menurut Khuli ( 2000 ) ia juga merupakan bahasa yang tidak rasmi dan ia digunakan sejak kecil lagi berbanding bahasa buku yang dipelajari apabila berada diperingkat persekolahan.Sesungguhnya dialek ini hanya difahami oleh masyarakat yang menuturkan dialek tersebut. Dialek pasar ini juga mengalami perkembangan yang sangat pesat.

3 Dialek baku (fushah)

Variasi bahasa ini dikenali sebagai bahasa sastera atau bahasa kitab yang mana ianya dinukilkan di dada-dada akhbar, majalah, dan dalam hal ehwal pejabat. Ia juga digunakan di dalam perdebatan, pembelajaran dan di dalam sistem pengajaran di kelas-kelas. Menurut Khuli ( 2000 ) juga, dialek ini bersih daripada lafaz-lafaz pasar bahasa pasar.

4 Dialek Kemasyarakatan

Pertuturan sesuatu negara atau sesuatu kawasan mempunyai bahasa yang berbeza berdasarkan tingkatan manusia dan kawasannya. Tingkatan kemasyarakatan ini dapat dinilai perbezaannnya melalui ilmu pengetahuan, tarbiyah, pemikiran, perasaan, kehidupan, kehidupan berkeluarga, kepercayaan dan adat resam. Secara jelasnya kesemua perbezaan ini menunjukkan setiap tingkatan kemasyarakatan. Ia menghasilkan kepelbagaian dialek yang berbeza dari segi perkataan, uslub, dan pembentukkan ayat dan lain-lain lagi.


5 Dialek Kampung dan Bandar

Setiap iklim mempunyai kedudukan geografi yang tertentu, dan setiap geografi mempunyai bandar dan kampung. Setiap kampung dan bandar pula mempunyai dialek yang berbeza. Menurut Khuli ( 2000 ) dua sebab yang membezakan dialek ini ialah:

1) Penduduk bandar lebih banyak bercampur dengan pelbagai manusia yang datang dari pelbagai kampung. Ini menjadikan bandar sebagai tempat perhubungan dengan pelbagai masyarakat yang berbeza dari segi pengetahuan dan dialek.

2) Tahap ilmu pengetahuan penduduk bandar lebih tinggi berbanding penduduk kampung.

6 Dialek jantina

Secara hakikatnya dialek ini merupakan sejenis dialek kemasyarakatan. Adakah sama dialek seorang perempuan dengan seorang lelaki? Terdapat perbezaan yang boleh dilihat dari segi cara percakapan, pergerakan seseorang terhadap bahasa, tinggi rendah suara dan lain-lain lagi. Perbezaan ini dikenali sebagai dialek kelakian dan dialek keperempuanan. Cara cakap seorang lelaki berbeza dengan cara cakap seorang perempuan (

7 Dialek umur

Perbezaan umur seseorang memainkan peranan dalam dialek ini. Kita lihat bagaimana kanak-kanak yang umurnya 3 tahun, apa yang berlaku pada suaranya, dan perkataannya. Perbezaan ini dapat dilihat pada sebutannya dan perkataannnya.

8 Dialek masa

Unsur zaman memainkan peranan penting dalam sesuatu dialek. Jika dibandingkan dengan dialek zaman dahulu amat berbeza dengan dialek yang digunakan zaman sekarang mengikut peredaran zaman. Secara semulajadinya, sesetengah dialek berterusan digunakan sehingga waktu kini dan ia dikatakan sebagai dialek yang hidup.

9 Dialek Perseorangan

Dialek perseorangan berlaku apabila dua orang yang berlainan iklim, berlainan tempat asal tetapi hidup dalam satu rumah. Mereka juga telah mengalami proses pembelajaran yang sama tetapi terdapat perbezaan dari segi dialek diantara keduanya. Setiap seorang daripadanya berbual dalam bentuk dialek yang berbeza.

10 Dialek Minoriti

Sesungguhnya golongan yang minoriti akan bertutur dalam dialek golongan majoriti. Contohnya golongan India yang tinggal di Amerika seakan-akan bertutur dialek “Inggeris India”.

11 Dialek Pekerjaan

Setiap bidang pekerjaan mempunyai dialek bahasa yang tertentu. Seorang doktor bertutur dialek bahasa yang kurang difahami oleh bidang pekerjaan yang lain, ini menyebabkan terjadinya dialek pekerjaan.

FUNGSI BAHASA DALAM MASYARAKAT

Didalam sesebuah masyarakat, bahasa memainkan peranan yang yang sangat penting sebagai alat perhubungan kepada penutur bahasa ibunda dan penutur bahasa kedua. Menurut Ahmad Sheikhu ( 2006 ), terdapat beberapa fungsi bahasa antaranya :

1 Sebagai alat mencantikkan lagi perhubungan masyarakat, seperti bahasa yang digunakan dalam ucapan puji-pujian, ucapan nasihat, pesanan kearah kebaikan, cara mendapatkan pendapat dan sokongan masyarakat dalam bidang politik dan kemasyarakatan.

2 Sebagai wasilah dalam menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan seperti bacaan wirid, doa-doa,azan, solat dan khutbah jumaat.

3 Sebagai alat perhubungan dalam majlis-majlis rasmi seperti didalam bidang keagamaan, perundangan, kehakiman, jual beli, majlis perkahwinan dan sebagainya.

4 Bahasa sebagai alat menyampaikan maklumat dan mendapatkan maklumbalas seperti untuk menyoal dan menjawab soalan.

5 Bahasa sebagai wasilah menjaga warisan pusaka sesuatu bangsa. Menerusi bahasa, sejarah sesuatu bangsa dapat diturunkan dari generasi ke generasi.

6 Sebagai alat untuk menjalinkan sifat saling bekerjasama dan saling mempengaruhi dalam sesuatu sistem masyarakat. Oleh itu, pelbagai gaya dan uslub bahasa digunakan untuk tujuan itu seperti uslub suruhan, tegahan, dan pengharapan.

7 Bahasa sebagai alat untuk menarik perhatian orang ramai seperti untuk melariskan sesuatu produk dan promosi barangan.

8 Bahasa sebagai alat untuk mengungkapkan perasaan seseorang seperti penggunaan bahasa sastera dalam puisi dan syair.

9 Bahasa juga berfungsi sebagai alat untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam sesuatu kelompok masyarakat seperti meleraikan salah faham dan perselisihan.

10 Bahasa sebagai wasilah bagi menyampaikan pandangan dan buah fikiran seseorang.

Bahasa dan sosiolinguistik

Bahasa bukanlah semata-mata satu cara menyampaikan maklumat. Tetapi bahasa merupakan wahana penting bagi menimbulkan dan memupuk perhubungan antara manusia. Apabila kita berkomunikasi, kita tidak dapat mengelakkan diri daripada memberi petanda-petanda kepada pendengar mengenai asal-usul atau keterangan-keterangan lain mengenai diri kita. Pelat dan cara pertuturan kita sedikit sebanyak memberi keterangan tentang tempat asal dan latar belakang kehidupan kita.

Apabila membincangkan tentang fenomena yang berkaitan dengan bahasa manusia, kita tidak boleh melupakan hakikat bahawa hayat dan kelansungan sesuatu bahasa itu berkait secara lansung dengan manusia yang menggunakannya. Sifat saling mempengaruhi antara bahasa dan masyarakat, atau hubungan timbal balik ini memperlihatkan bahasa dan masyarakat itu saling mempengaruhi. Misalnya, faktor masyarakat yang beragam akan mewujudkan jenis dan corak bahasa yang beragam.

Dalam sosiolinguistik, terdapat dua saripati yang lazimnya dikesampingkan dalam bidang linguistik umum. Pertamanya bahasa bersifat beraneka ragam, dengan maksud para penutur mempunyai pelbagai pilihan untuk menyatakan sesuatu. Bunyi mana yang dipilih, bentuk mana yang digemari, atau ragam apa yang disukai. Keduanya sesuatu bahasa itu dapat menyerlahkan apa yang tersirat disebalik apa yang tersurat.

Dengan kata lain, bunyi yang dipilih, bentuk yang digemari, atau ragam yang disukai, disamping berfungsi untuk menyampaikan maklumat penutur kepada pendengar, ia juga dapat digunakan oleh penutur sebagai alat untuk mempersembahkan dirinya, siapakah dirinya jika dibandingkan dengan pendengar, ketaatan terhadap kumpulannya, penilaiannya terhadap perilaku berbahasa ketika itu, dan lain-lain lagi. Ini bermaksud bahasa disini dianggap alat dan juga cermin penggunanya.

SEJARAH SOSIOLINGUISTIK

Menurut Noriah( 2003 ), dari segi sejarah, walaupun hubungan antara bahasa dan masyarakat sangat ketara dan hubungan ini sudah dikaji sekian lama, bidang ilmu yang mengkaji hubungan ini hanya mendapat labelnya apabila istilah sosiolinguistik diperkenalkan di Amerika Syarikat pada tahun 1952 oleh seorang guru bernama Harver C.Currie. Dalam hal ini, Currie menyatakan bahawa tujuannya mencadangkan istilah ini kerana kajian yang sedang dijalankannya tentang fungsi dan maksud sosial berbahasa masih belum mempunyai nama. Oleh hal yang demikian, istilah sosiolinguistik digunakan sebagai pengenalan kepada kajian yang dimaksudkan.

Walaupun sudah berlabel, sosiolinguistik sebagai disiplin ilmu hanya berkembang sekitar tahun 60-an. Perkembangan sosiolinguistik pada mulanya diterajui oleh ahli antropologi, memandangkan merekalah yang berhadapan secara lansung dengan isu sosial dan bahasa. Sebab itu juga bidang sosiolinguistik pada mulanya dikenali dengan nama-nama seperti linguistik antropologi, bahasa dalam kebudayaan, bahasa dalam masyarakat, bahasa dan kebudayaan, dan sosiologi bahasa. Hal ini juga sesuai dengan hakikat bahawa sosiolinguistik merupakan cabang kepada bidang antropologi, khususnya antropologi sosial yang mementingkan analisis terhadap struktur sosial masyarakat.

Walaubagaimanapun, pada pertengahan abad ke-20, ahli linguistik mula menyedari kepentingan mengkaji hubungan antara bahasa dan masyarakat. Hal ini kerana perbincangan tentang bahasa secara terasing daripada masyarakat penggunanya tidak memperlihatkan realiti sebenar kerana bahasa tidak wujud dalam ruang kosong. Dengan perkataan lain, kajian terhadap bahasa tidak sempurna sekiranya aspek masyarakat yang menggunakannya diabaikan. Berdasarkan hakikat inilah maka kelompok ahli linguistik mula mengorak langkah untuk mewujudkan sosiolinguistik sebagai satu disiplin.

Manakala menurut Zaidan ( 1994 ), Sosiolinguistik telah mula diperkenalkan oleh seorang ahli bahasa berbangsa Amerika iaitu William Labov pada awal tahun 60-an. Beliau merupakan seorang perintis bahasa yang penting dan memulakan pengkajian tentang analisa dialek bahasa Inggeris di bandar New York. Kajian beliau membuahkan kejayaan dan para ahli akademik bahasa telah meniru dan melakukan kajian terhadap bahasa masing-masing seperti di England, negara Arab, Jepun dan Afrika.

Dari tahun 1970-an sehinggalah sekarang ini, bidang sosiolinguistik semakin mendapat sambutan ahli bahasa. Tumpuan kajian bukan sahaja terhadap aspek sosiolinguistik tulen, tetapi juga meliputi sosiolinguistik gabungan terapan yang menggabungkan kajian sosiolinguistik dengan kajian pendidikan. Bidang sosiolinguistik gabungan juga semakin berkembang dengan kemajuan masyarakat dalam bidang teknologi maklumat dan hal ini sekali gus menambah jumlah kajian yang memperlihatkan perkaitan antara bahasa, variasi bahasa dan komputer. Sekarang ini, sosiolinguistik boleh dianggap sebagai disiplin linguistik yang penting dan kedudukannya sebaris dengan disiplin linguistik yang lain.

DEFINISI SOSIOLINGUISTIK

Menurut Hudson dalam Noriah ( 2003 ), sosiolinguistik ialah bidang yang mengkaji hubungan antara bahasa dengan masyarakat yang menggunakan bahasa tersebut. Secara lebih khusus definisi berkenaan sebenarnya diperoleh daripada istilah sosiolinguistik itu sendiri yang menggabungkan dua perkataan, iaitu sosio dan linguistik.

Istilah sosio dianggap sejajar dengan istilah sosial yang bermakna perkara yang berkaitan dengan masyarakat dan organisasinya. Linguistik pula merupakan disiplin yang mengkaji unsur bahasa, khususnya unsur yang membentuk sistem bahasa. Secara umumnya, sisiolinguistik dapat didefinisikan sebagai kajian terhadap hubungan bahasa dengan masyarakat (dan organisasinya ) yang menggunakan bahasa tersebut.

Nik Safiah dalam Noriah ( 2003 ) menyatakan bahawa kajian sosiolinguistik meliputi semua aspek bahasa dalam hubungannya dengan masyarakat. Tercakup dalam hubungan yang dimaksudkan ialah kajian terhadap bahasa, dialek dan idiolek, kedwibahasaan, profik sosiolinguistik, etnografi bahasa, sikap terhadap bahasa dan perancangan bahasa.

Nababan pula menyatakan bahawa sosiolinguistik mempelajari dan membahas aspek-aspek kemasyarakatan bahasa, khususnya perbezaan-perbezaan ( variasi ) yang terdapat dalam bahasa, yang berkaitan dengan faktor-faktor kemasyarakatan ( sosial ). Kenyataan ini diperkuatkan lagi oleh Mustafa Lutfi (1976) menyatakan bahawa sosiolinguistik berkaitan dengan sifat-sifat, cirri dan fenomena masyarakat yang terdapat dalam sesuatu bahasa.

oleh:kak mastura master ukm 09/10